PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita sembilan penjaja warga asing yang beroperasi tanpa lesen dalam satu operasi khas di Jalan Silang, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Khoo Teik Ee.
DBKL dalam hantaran di Facebook memaklumkan, penjaja menjual pelbagai jenis makanan dan minuman secara haram dan melanggar Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 menerusi Tindakan Khas Penjaja Warga Asing.
“Tindakan sita dan pemindahan barangan dilakukan serta-merta bagi memastikan tiada aktiviti perniagaan haram berleluasa di ibu kota,” katanya.
Semua barangan perniagaan yang dikenakan tindakan sita dihantar ke stor sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan lanjut. – UTUSAN