POH: Hubungan dan kerjasama rapat dengan pihak Istana, kerajaan Persekutuan dan Negeri merupakan antara komitmen Datuk Bandar Ipoh yang baharu, Zamakhshari Hanipah demi memajukan Ipoh.
Beliau yang memulakan tugas tersebut pada 16 April lalu, merupakan Datuk Bandar Ipoh yang ke-13 menggantikan Datuk Rumaizi Baharin.
“Saya akan memastikan tanggungjawab utama MBI, Back to basic diberikan keutamaan iaitu isu sampah, longkang dan rumput serta isu penyelenggaraan kemudahan awam termasuk jalan berlubang bagi menjadikan Ipoh sebagai bandar raya yang ceria, bersih, mesra penduduk dan mesra alam,” katanya hari ini.
Beliau merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Persediaan Bencana (Dasar) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selain pernah menjadi Yang Dipertua Majlis Daerah Gerik.
Zamakhshari berkata tugas yang diamanahkan kepadanya serta warga MBI adalah untuk kesejahteraan penduduk Ipoh.
“Kerana warga Ipoh adalah majikan kita yang sebenarnya, kerana merekalah yang membayar gaji kita.
“Pada masa yang sama, saya akan terus menjalinkan hubungan dan kerjasama yang lebih rapat dan baik dengan pihak Istana, kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pihak yang berkepentingan dalam usaha memajukan bandar raya Ipoh,” katanya. – UTUSAN