BUKIT MERTAJAM : DAP Pulau Pinang bersedia membantu perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning andai diperlukan untuk berbuat demikian.
Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, ketika ini, DAP telah melantik Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh sebagai Pengarah Pilihan Raya manakala Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How pula akan bertindak selaku penyelaras parti untuk PRK berkenaan.
“Kita akan menerima arahan daripada pejabat penyelaras untuk kita turun membantu kempen PRK di sana. Malah, saya sendiri juga telah mendapat jemputan untuk pergi memberikan ucapan (ketika berkempen).
“Jadi, untuk DAP Pulau Pinang, kita memang tiada masalah untuk memberikan bantuan atau sokongan sepenuhnya kepada kempen pilihan raya terbabit,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Pulau Pinang yang dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu di sini, hari ini.
Turut kelihatan pada majlis itu ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, barisan kepimpinan negeri serta wakil daripada Barisan Nasional (BN) dan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Mengulas mengenai sokongan yang akan diterima daripada pengundi Cina pada PRK DUN Ayer Kuning, Steven yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, beliau hanya akan membuat kesimpulan mengenai perkara itu apabila turut-serta dalam kempen tersebut nanti.
“Saya belum pergi ke Ayer Kuning lagi (buat masa ini). Mungkin boleh dapatkan maklumat daripada penyelaras kita yang ada di sana. Apapun, kita akan cuba buat yang terbaik,” kata beliau.
Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu antara calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr. Mohamad Yusri Bakir dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tapah, Abd. Muhaimin Malek dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK tersebut jatuh pada 26 April ini manakala pengundian awal pula akan diadakan pada 22 April.-UTUSAN