IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan membuat ugutan jenayah dengan menggunakan objek menyerupai pistol.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya telah memulakan siasatan kes itu dengan memanggil beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian.
Katanya, sehingga kini seramai lapan saksi telah diambil keterangan selain sedang mengesan saksi dalam video tular yang dikatakan melihat kejadian itu berlaku.
“Suspek akan dipanggil bagi membantu siasatan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.
Noor Hisam berkata, kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 12.28 tengah hari tadi oleh seorang lelaki berhubung kekecohan yang berlaku di jamuan hari raya di Dewan Komuniti Taman Indah di Ipoh.
Beliau berkata, semasa hadir ke majlis tersebut , pengadu mendakwa didatangi seorang ahli politik sambil mengacukan objek menyerupai pistol ke arahnya.
“Ahli politik itu dikatakan telah meminta pengadu untuk beredar. Pengadu tidak berpuas hati dan minta bantuan polis ke lokasi kejadian,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Arafat dalam kenyataannya menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai fitnah setiap kali pemilihan parti berlangsung.
Pada pemilihan PKR kali ini, Muhamad Arafat berdepan cabaran daripada Shamsul Kamar Ani yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Cabang Tambun.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit lima saat yang memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Kalai mendakwa Muhamad Arafat menunjukkan pistol kepada calon dan ahli-ahli yang sedang merayu undi.
Lelaki yang mendakwa sebagai calon timbalan ketua cabang Tambun itu berkata, kejadian berkenaan disaksikan ramai dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap Muhamad Arafat. – UTUSAN