IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad sudah memberi keterangan kepada polis berkaitan dakwaan ugutan dengan menunjukkan objek berupa pistol.
Menurutnya, beliau memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 10 malam semalam, selama kira-kira 40 minit.
Beliau turut menafikan dakwaan seorang individu menerusi satu video tular yang mendakwa beliau menunjukkan pistol pada hari kejadian.
Katanya, apa yang didakwa dalam video tersebut bercanggah dengan kejadian sebenar dan laporan polis yang dibuat.
“Saya mahu menyatakan saya tidak bawa pistol pada hari kejadian. Saya meminta pihak polis menyiasat individu dalam video berkenaan.
“Terdapat banyak percanggahan antara dakwaan dalam video dengan laporan yang dibuat,” katanya.
Muhamad Arafat memberitahu, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.
“Saya sudah arahkan peguam memulakan proses undang-undang untuk saman fitnah berjumlah RM1 juta. Dalam minggu ini dia akan terima surat tersebut,” jelasnya.
Sebelum ini, pihak polis memaklumkan akan memanggil ADUN Hulu Kinta itu untuk direkod keterangan berhubung dakwaan melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan objek berupa pistol.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya telah menerima aduan berkaitan kes itu daripada seorang lelaki pada Ahad lalu. – UTUSAN