PETALING JAYA: Dakwaan bahawa agenda Islam disekat dan tergadai di bawah pentadbiran Kerajaan Madani disifatkan sebagai tidak berasas dan berunsurkan kepentingan politik sempit segelintir pihak semata-mata.
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Muhamad Razak Idris berkata, tuduhan yang tular di media sosial kononnya kepentingan umat Islam dan orang Melayu tidak dijaga adalah tidak berlandaskan fakta sebenar.
“Saya berasa amat kesal kerana masih terdapat pelbagai tohmahan dan dakwaan dalam media sosial yang cuba menggambarkan seolah-olah kepentingan umat Islam dan orang Melayu tergadai, disekat serta terancam di era Kerajaan Madani.
“Kenyataan dan dakwaan tersebut adalah tidak berasaskan kepada fakta yang sebenar dan hanyalah spekulasi semata-mata demi meraih kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif dan ikhtiar telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah kepemimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam memperkasa hal ehwal Islam negara.
“Antara pencapaian utama kerajaan Madani dalam pembangunan hal ehwal Islam termasuklah peningkatan peruntukan Belanjawan Madani 2025, penambahan 1,500 kuota guru KAFA serta pemerkasaan institusi kehakiman syariah dan pelaksanaan undang-undang Islam.
“RUU Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2024 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini,” katanya.
Muhamad Razak berkata, pentadbiran hal ehwal halal juga semakin efisien, prasarana institusi pendidikan Islam terus ditambah baik dan pelbagai program keilmuan termasuk pembangunan Al-Quran dan hadis terus diperkukuh.
Beliau turut menekankan hubungan Malaysia dengan negara-negara Islam kini semakin erat di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pencapaian-pencapaian ini adalah bukti jelas bahawa agenda pembangunan Islam di Malaysia berkembang pesat dan kukuh di era Kerajaan Madani.
“Justeru, saya menyeru umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan yang tidak berasas. Marilah kita bersama memperkukuh perpaduan ummah dan mendokong kepimpinan negara dalam membina Malaysia yang dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN