PELAKON dan penyanyi, Daiyan Trisha menolak pandangan sesetengah pihak yang menganggap dirinya sudah perlahan atau semakin menyepi dalam dunia hiburan tanah air.
Menurut anak kelahiran Selangor berusia 31 tahun ini, karier lakonannya tidak pernah perlahan seperti yang disangka, cuma dia akui bersikap selektif, tidak ‘sapu’ sahaja tawaran lakonan agar kualiti kerja terus terpelihara.
“Saya ini bukan pelakon yang pandai ‘lompat’ dari satu set penggambaran ke set penggambaran yang lain.
“Tambah pula, saya ini perlu masa untuk memahami watak. Sebab itu saya hanya beri tumpuan kepada satu projek dalam satu-satu masa sahaja,” katanya yang ditemui sempena sidang akhbar Malaysia International Film Festival 2025 (MIFFest), baru-baru ini.
Kata Daiyan lagi, ada artis lain yang mampu bekerja tanpa henti, namun dia memilih untuk tidak terlalu ‘menyapu’ semua kerja lakonan yang ditawarkan supaya dapat bertahan lama dalam industri seni.
“Saya mahu kekal relevan sampai umur saya mencecah 40 tahun atau lebih. Untuk itu, saya perlu jaga diri dari sekarang, bukan sahaja fizikal, tapi juga mental,” ujarnya.
Daiyan juga menegaskan walaupun tidak kerap muncul di televisyen
(TV) sebagai pelakon, dia tetap aktif berkarya dalam dalam bidang nyanyian, penulisan lagu dan dalam platform Over-The-Top (OTT) .
“Saya baru tamat penggambaran filem dan selepas ini akan masuk set penggambaran untuk OTT pula.
“Kadang, bila saya fokus kepada nyanyian, orang tak nampak saya di TV. Tapi sebenarnya saya aktif menulis lagu dan berlakon,” katanya.
Penyanyi itu juga mengakui dia kini lebih berhati-hati memilih projek lakonan berdasarkan kualiti, keserasian pasukan produksi dan gandingan pelakon, bukan semata-mata soal bayaran.
“Bagi saya, pengarah, pelakon dan platform semuanya penting. Kalau semua itu meyakinkan, saya akan buat yang terbaik.
“Ini cara saya untuk bertahan lama dalam industri dan kekal konsisten dengan hasil kerja yang berkualiti,” katanya.
AJAK GENERASI MUDA HARGAI FILEM LUAR
Mengulas mengenai pembabitannya sebagai duta MIFFest, Daiyan berharap pelantikan itu dapat menjadi pemangkin kepada ramai artis muda untuk mengenali filem luar negara yang sebelum ini jarang diberikan perhatian.
Menurut Daiyan, hal demikian kerana masih ramai generasi muda termasuk rakan artisnya yang tidak diberi pendedahan kepada kepelbagaian karya filem antarabangsa, malah tidak mengetahui tentang MIFFest.
“Sebenarnya mereka tak diberi pendedahan. Bila mereka nampak penglibatan saya, mungkin mereka akan tertarik dan hadir,” katanya.
Penyanyi lagu Jom Raya itu turut menyatakan bahawa penyertaannya akan menarik perhatian lebih ramai golongan muda untuk berkongsi mengenai filem luar di media sosial.
Inisiatif itu menjadi usaha untuk memperluas kesedaran mengenai kepelbagaian filem dari negara-negara yang lain.
“Bila mereka datang ke MIFFest, mereka akan kongsi dalam media sosial. Jadi, orang ramai akan nampak dan tahu pasal MIFFest. Itu antara perkara yang saya rasa saya boleh bantu untuk MIFFest,” katanya.
Bagi Daiyan, MIFFest bukan sekadar sebuah festival filem, sebaliknya platform penting untuk membuka minda penggiat seni tempatan kepada dunia filem luar dan sebaliknya.
“Saya rasa lebih ramai perlu tahu tentang filem-filem dari luar Malaysia. Kita memang tahu filem tempatan, tapi banyak juga filem bagus dari luar negara yang bermanfaat untuk kita,” jelasnya.
Daiyan menambah, peluang ini juga membolehkan dia mengajak pelakon muda untuk bersama-sama memajukan industri, sekaligus melahirkan anak seni yang lebih terbuka dan bersedia ke peringkat antarabangsa.
“Saya boleh panggil pelakon-pelakon atau rakan saya. Kita buka minda penonton, dedahkan mereka kepada filem antarabangsa. Daripada itu kita boleh bergerak sebagai anak seni yang lebih international dan lebih terbuka,” katanya.