MELAKA: Pemuda yang sebelum ini mencetuskan perhatian ramai selepas videonya memukul seorang pemandu kereta dengan topi keledar tular dalam media sosial, dijatuhi hukuman denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Hukuman dijatuhkan oleh Majistret N. Sivashangari selepas tertuduh, Muhammad Ariff Izzat Shahrudin, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa mencederakan seorang lelaki berumur 52 tahun menggunakan topi keledar dalam kejadian yang berlaku di Jalan Cheng Utama dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Mac 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan perlu menyara isteri dan anak serta menanggung beban hutang tapak perniagaan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor T. Veramuthu memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman yang setimpal memandangkan kejadian tersebut mendapat perhatian umum selepas videonya tular.
Mahkamah memutuskan denda RM3,500 dikenakan terhadap tertuduh atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang lelaki ditahan polis selepas didapati memukul pemandu kereta menggunakan topi keledar hingga menyebabkan mangsa terbaring atas jalan.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada salah faham ketika berada atas jalan raya yang akhirnya membawa kepada pergaduhan fizikal.-UTUSAN