Cubaan rogol ketika joging: Suspek ditangkap dua jam selepas

Cubaan rogol ketika joging: Suspek ditangkap dua jam selepas kejadian

LOKASI seorang wanita menjadi mangsa serangan seksual di Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lelaki yang dipercayai mencabul seorang wanita ketika mangsa sedang berjoging seorang diri di Taman Bandaraya Bukit Serindit di sini, malam tadi berjaya diberkas polis, dua jam selepas kejadian.

Suspek berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Banda Hilir kira-kira pukul 12.05 tengah malam, hasil tindakan pantas berdasarkan maklumat dan pengecaman oleh mangsa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, penahanan dilakukan selepas mangsa tampil membuat laporan sebaik kejadian berlaku pada pukul 10 malam.

“Suspek didapati datang dari arah belakang sebelum memeluk mangsa, menekup mulutnya dan mencabulnya. Dia turut cuba menarik mangsa ke arah kawasan semak, namun wanita itu berjaya melawan dan menjerit meminta pertolongan.

“Susulan maklumat yang diperoleh, polis menjalankan gerakan mengesan suspek sebelum berjaya menahannya tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang wanita menjadi mangsa serangan seksual apabila dicabul seorang lelaki ketika sedang berjoging di Taman Bandaraya Bukit Serindit.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa didatangi suspek dari arah belakang sebelum dipeluk, mulutnya ditekup dan dicabul. Bagaimanapun cubaan menarik mangsa ke kawasan semak gagal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, mangsa berjaya diselamatkan selepas kejadian itu disedari orang awam yang berada di lokasi.

Dzulkhairi berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang pengaruh dadah dan kini direman selama empat hari hingga 14 April ini bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman, jika disabit kesalahan.

Tambah Dzulkhairi, orang ramai dinasihatkan agar lebih peka dengan keselamatan diri terutama ketika melakukan aktiviti bersendirian di tempat awam.

“Polis Melaka komited memastikan keselamatan awam dan akan terus mempertingkatkan rondaan di kawasan rekreasi dan tumpuan orang ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya