TAPAH: Pemilih berdaftar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diingatkan supaya keluar mengundi awal pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, ia berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak beberapa hari lalu terutama hujan pada sebelah petang.
“Kita jangka peratusan mengundi pada Sabtu ini akan mampu mencecah lebih 70 peratus. Ini berdasarkan kepada trend beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.
“Saya seru semua pengundi keluar awal bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan teratur. Keadaan cuaca juga kini tidak menentu, jadi kita minta mereka keluar awal,” katanya kepada pemberita di pusat mengundi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 PGA Bidor, di sini hari ini.
Menurut beliau, berbaki tiga hari lagi, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan kempen pilihan raya dan setakat ini, tiada laporan diterima berkaitan isu serius.
Sehubungan itu katanya, semua pihak termasuk calon dan parti bertanding diminta mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan agar proses pilihan raya berjalan dengan tertib dan aman.
“Kita cuba mengelakkan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan keadaan tidak tenang. Saya berharap semua pihak dapat memainkan peranan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Terdahulu, tiga calon PRK DUN Ayer Kuning iaitu Dr Mohamad Yusri Bakir dari Barisan Nasional (BN), calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40, hadir di PGA Bidor bagi meninjau proses undi awal.
Di kerusi DUN Ayer Kuning, seramai 31,897 pengundi berdaftar direkodkan dengan 56 peratus daripadanya pengundi Melayu, Cina (22 peratus), India (14 peratus) dan lain-lain (lapan peratus).
Pilihan raya di DUN tersebut diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – UTUSAN