SHAH ALAM: Proses siasatan kes letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya menghadapi sedikit kesulitan berikutan cuaca hujan ketika ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, secara dasarnya agensi berkaitan telah melakukan pengorekan tanah di lokasi itu sehingga menampakkan paip terlibat.
Jelas beliau, sebahagian spesimen telah diambil oleh agensi tindak balas dan masih menunggu satu lagi serpihan terpaling bawah.
“Namun, cuaca hujan yang berlaku setiap hari minggu ini menyebabkan kerja-kerja (siasatan) terganggu.
“Walaupun jangkaan laporan siasatan boleh keluar lebih awal tetapi ia kini terganggu oleh keadaan cuaca tidak menentu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, petang ini.
Tambah Hussein, pihaknya turut akan mengadakan sesi lawatan khas bersama media di lokasi letupan itu pada Rabu minggu depan.
“Kita mungkin akan membawa semua media ke lokasi itu minggu depan. Jadi, anda boleh melihat sendiri kesukaran sebenar dihadapi bagi proses siasatan kejadian itu,” ujarnya.
Media pada 18 April lalu melaporkan laporan awal siasatan kejadian itu akan diperoleh pada minggu ini.
Polis masih menjalankan siasatan daripada segi kecuaian dan khianat manakala satu lagi sisiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Pada 1 April lalu, letupan paip gas di lokasi itu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Insiden itu mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan pada struktur melebihi 40 peratus.
Sebanyak 81 buah rumah pula separa musnah, 57 terkesan tapi tidak terbakar manakala 218 rumah lagi tidak terjejas. – UTUSAN