PETALING JAYA: China menyatakan sokongan penuh dan mengalu-alukan Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) dalam blok ekonomi tersebut.
Menerusi kenyataan bersama kedua-dua negara, Malaysia dan China mengulangi komitmen terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meningkatkan kerjasama di bawah PBB, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan BRICS.
“Mereka bersetuju untuk bekerjasama memajukan undang-undang antarabangsa, mempertahankan kepentingan bersama negara-negara membangun serta memperjuangkan keamanan, keadilan dan kemakmuran bersama.
“China mengalu-alukan Malaysia sebagai rakan BRICS dan berjanji menyokong penyertaan Malaysia yang lebih mendalam dalam kerjasama BRICS,” kata kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar selepas Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping hari ini.
Kenyataan bersama itu turut mengulangi sokongan kukuh kedua-dua pihak terhadap Kepusatan ASEAN dan prinsip-prinsip yang digariskan dalam Piagam ASEAN serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama.
“China mengalu-alukan Pengerusi ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025 dan menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia untuk memperkukuh mekanisme yang diketuai ASEAN serta mempromosikan seni bina serantau yang aman, terbuka dan inklusif,” katanya.
Semalam, Xi diberi sambutan negara diikuti dengan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara dan menghadiri jamuan negara bersama Seri Paduka.
Dalam pertemuan dua hala di Kompleks Seri Perdana, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Xi membincangkan usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran 31 dokumen, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota persefahaman antara Malaysia dan China. Majlis itu diikuti dengan jamuan rasmi yang dianjurkan Anwar bagi meraikan kunjungan Xi.-UTUSAN