PUTRAJAYA: Presiden China, Xi Jinping menegaskan komitmen negaranya untuk terus memperkukuh hubungan strategik dengan Malaysia dalam usaha menentang cabaran geopolitik global, termasuk ancaman unilateralisme dan dasar perlindungan ekonomi (proteksionisme) yang kian meningkat.
Ketika berucap sempena lawatan rasminya ke Malaysia, Xi berkata, kedua-dua negara bukan sahaja berkongsi sejarah yang panjang, tetapi kini bersedia melangkah ke fasa baharu dalam membentuk komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan bersama.
“Pada tahun 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya telah mengumumkan komitmen membina komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan. Kini, lembaran baharu hubungan dua hala telah pun bermula,” ujar beliau.
Xi menekankan bahawa dalam menghadapi kejutan globalisasi ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik, China dan Malaysia akan terus berdiri bersama, bukan sahaja demi kestabilan rantau Asia, malah untuk kepentingan global.
“China dan Malaysia akan berdiri seiring bersama negara-negara serantau dalam menentang geopolitik berasaskan pemusatan kuasa, serta dasar unilateralisme dan proteksionisme yang semakin menekan ekonomi global,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama erat antara China dan Malaysia bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara, malah kepada rakyat secara langsung, dengan menyumbang kepada pembangunan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini.
“Kami yakin, prospek keluarga Asia masih terang dan menjanjikan. China menanti-nantikan kerjasama yang lebih erat dengan Malaysia bagi membina hubungan strategik yang lebih tinggi dan menerima era ‘50 Tahun Emas’ dalam hubungan dua hala,” jelasnya.
Xi turut menyatakan hasrat untuk melihat kedua-dua negara menjadi contoh kepada negara-negara membangun dalam menjayakan agenda perpaduan, kerjasama dan keamanan sejagat.
“Bersama-sama, kita akan menggerakkan proses pemodenan di kedua-dua negara, sekali gus menetapkan contoh yang baik untuk negara-negara membangun. Kita akan menyumbang lebih besar kepada keamanan, kestabilan dan kemanusiaan sejagat,” tambahnya.
Beliau turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada rakyat Malaysia serta mendoakan kesejahteraan Anwar dan kejayaan berterusan dalam memperkukuh hubungan bilateral antara kedua-dua negara. – UTUSAN