Kementerian Pendidikan mula melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya secara berperingkat berkuat kuasa kemarin.
Inisiatif yang melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia ini dilaksanakan bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik.
Menerusi inisiatif tersebut, Kementerian Pendidikan akan membekalkan lencana Jalur Gemilang sebanyak dua unit secara percuma bagi semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026.
Kebanyakan sekolah telah mula melaksanakan pemakaian lencana tersebut dan pelajar kelihatan teruja memakainya.
Lencana tersebut perlu disematkan di sebelah kanan dada pelajar setiap kali persekolahan.
Kementerian Pendidikan juga menyediakan Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan di bawah kementerian yang disertakan bersama-sama Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 sebagai panduan tentang tatacara pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid.
Inisiatif ini bertepatan dengan fungsi institusi pendidikan untuk menyemai rasa cinta akan negara dan menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Kementerian Pendidikan berperanan penting dalam menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik. Justeru, suatu usaha daripada peringkat akar umbi hendaklah dilaksanakan secara holistik bagi memastikan semangat ini terus kekal dan subur.
Oleh itu, Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Februari 2025 telah meluluskan Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid di lnstitusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan.
Garis panduan itu. dikeluarkan sebagai panduan rasmi bagi penggunaan, penggayaan dan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan di bawah kelolaannya. – UTUSAN