PUTRAJAYA: Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal perlu dirujuk kepada parti-parti politik terlebih dahulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana cadangan tersebut berkemungkinan turut melibatkan jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar di peringkat negeri.
“Sistem kepimpinan Perdana Menteri dua penggal, kita kena bawa kepada parti politik dahulu sebab parti politik yang kita nak bawa (kemukakan cadangan mereka).
“Kita nak mengkaji dari segi dua penggal Perdana Menteri, ia mungkin terpakai di peringkat negeri juga (iaitu) Ketua Menteri (dan) Menteri Besar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Santunan Mesra Aidilfitri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bersama warga jabatan dan agensi di sini hari ini.
Pada Mac lalu, Anwar bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh sebagai Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal sahaja.
Perdana Menteri berkata, jika cadangan itu mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen, ia boleh diusul kepada Dewan Rakyat supaya meminda Perlembagaan.
Dalam perkembangan lain, Azalina memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang Pendanaan Politik masih lagi berada di peringkat kajian dan sesi libat urus melibatkan aspek-aspek seperti konsep, definisi dan penggunaan pendanaan itu sendiri.
“Pendanaan politik tak boleh pendanaan di peringkat Persekutuan sahaja (kerana) ia pun bagi kesan di peringkat negeri. Dan kalau kita ada pilihan raya negeri, itu juga perlu menjadi kajian.
“Pejabat saya juga telah berhubung dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, mereka memang menggalakkan (akta) pendanaan politik, tapi dalam bentuk yang macam mana, mungkin fasa demi fasa.
“Majoriti (parti politik) positif terhadap pendanaan politik, tapi kita nak kaji banyak aspek dari segi jumlah, konsep pendanaan, definisi pendanaan dan penggunaan pendanaan sama ada dia sumbang kepada parti individu atau ahli politik individu,” ujarnya.
Pada 25 Februari lalu, media melaporkan kerajaan sudah melaksanakan beberapa mesyuarat pada 2023 hingga 2024 dalam usaha penggubalan RUU Pendanaan Politik yang mana Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut membentangkan cadangan penetapan dasar. – UTUSAN