Cadangan bina stor bantu percepat salur bantuan bencana

Cadangan bina stor bantu percepat salur bantuan bencana

R. RAMANAN (dua kanan) ketika menyantuni mangsa-mangsa banjir Kampung Kubu Gajah di PPS Dewan Seri Pagi, Paya Jaras, Sungai Buloh, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Agensi berkaitan dicadangkan untuk membina sebuah stor simpanan barangan bantuan kecemasan khusus di Sungai Buloh bagi mempercepat proses pengagihan bantuan kepada mangsa bencana di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan berkata, ketika ini stor penyimpanan bagi daerah tersebut terletak di Shah Alam dan jarak itu menyebabkan bantuan seperti khemah dan barangan keperluan asas lambat disalurkan kepada mangsa banjir.

“Jika kita lihat, kawasan terjejas seperti Paya Jaras dan Kampung Kubu Gajah berada di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Disebabkan itu, khemah untuk mangsa banjir yang dipindahkan ke Dewan Seri Pagi Paya Jaras lambat tiba kerana perlu dibawa dari Shah Alam.

“Kita bimbang sekiranya banjir berlaku pada waktu malam, barangan tersebut akan lebih lambat sampai disebabkan kesesakan lalu lintas atau penutupan jalan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Pagi, Paya Jaras di sini, hari ini.

Menurutnya, adalah penting untuk membina stor simpanan lebih dekat supaya tindakan boleh diambil segera semasa kecemasan. 

Jelas Ramanan, selain faktor hujan lebat, kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di Sungai Buloh awal pagi tadi turut berpunca daripada limpahan air Sungai Gombak yang menyebabkan paras air naik secara mendadak.

Beliau berkata, arus deras dari sungai tersebut turut menghakis ban yang dibina di kawasan terbabit.

“Susulan itu, kita akan memaklumkan kepada agensi terlibat supaya Projek Tebatan Banjir di kawasan itu disegerakan bagi mengelak kejadian sama berulang,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, dianggarkan seramai 200 keluarga terjejas akibat banjir yang melibatkan penduduk di Kampung Kubu Gajah, Kampung Paya Jaras Hilir, Taman Sri Alam dan Kampung Merbau Sempak.

“Pasukan kami akan pastikan kebajikan mangsa terjaga. Sukarelawan juga akan diletakkan di lokasi banjir bagi membantu kerja pembersihan, terutama rumah orang kurang upaya dan warga emas,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dalam satu kenyataan pagi tadi memaklumkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi.

Antara kawasan terjejas termasuk Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Subang Jaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya