SUBANG JAYA: ‘Tak boleh dengar bunyi guruh berdentum, pintu berdentam dan melihat khemah kubikel berwarna jingga.’
Itu antara kesan trauma yang dialami mangsa tragedi letupan saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Masjid Putra Heights seperti dikongsikan oleh Kaunselor Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Noor Amira Mohamed Yatim.
Menurutnya, kebanyakan mangsa yang menunjukkan tanda-tanda trauma adalah remaja berusia belasan tahun.
“Ada satu kes membabitkan seorang mangsa berkerusi roda mengalami kelecuran di kedua-dua belah kaki.
“Setiap kali hujan dan kedengaran bunyi guruh berdentum, dia terus teringat kembali detik cemas kejadian letupan itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di sini, hari ini.
YKN menempatkan seramai lapan kaunselor secara bergilir dalam tiga syif selama 24 jam di PPS, dengan bantuan sukarelawan mereka. Perkhidmatan itu diberikan secara percuma kepada mangsa.
Berkongsi pengalaman lain, Noor Amira berkata, terdapat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang mengalami trauma hanya kerana terdengar bunyi pintu ditutup dengan kuat.
“Dia menggigil dan menangis ketakutan sehingga berasa sukar untuk berada di khalayak ramai.
“Ada juga kanak-kanak berusia 12 tahun yang sering meracau dalam tidur kerana mengalami mimpi ngeri tentang kejadian tersebut,” ujarnya.
Kongsinya, ada juga mangsa yang mengalami panik hanya dengan melihat khemah kubikel berwarna jingga di PPS berkenaan.
“Warna jingga itu mengingatkan mereka kepada api dan insiden kebakaran. Ada yang sampai menggigil, sesak nafas dan diserang panik.
“Kami ajar mereka teknik pernafasan yang betul untuk bantu mereka tenang. Kami juga gunakan objek berwarna jingga untuk mengukur tahap ketakutan, jika mereka okey dengan objek kecil, barulah kami tunjukkan objek yang lebih besar sebelum membawa mereka semula ke dalam ruangan itu,” jelasnya.
Bagi membantu mangsa mengatasi trauma, pihak YKN menyediakan sesi intervensi psikologi secara berperingkat.
“Kebanyakan mangsa datang berjumpa kaunselor pada waktu pagi dan malam. Ada yang pulih dalam sehari, tetapi ada juga yang mengambil masa sehingga seminggu untuk kembali stabil,” katanya. – UTUSAN