Buli: Tujuh pelajar MRSM disyor ditamatkan pengajian

Buli: Tujuh pelajar MRSM disyor ditamatkan pengajian

ASYRAF Wajdi ketika sidang media Pengumuman Keputusan Tawaran Kemasukan ke MRSM Sesi 2025, di sini hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Seberang Perai, Pulau Pinang yang didapati terlibat dalam satu kes buli disyorkan ditamatkan pengajian.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, syor itu dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Disiplin MRSM.

“Keputusan kes buli MRSM, Jawatankuasa Disiplin Maktab, tujuh pelajar didapati terlibat, dua terlibat buli fizikal, lima bersubahat. Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian daripada MRSM,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Di ruangan komen, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa beliau tidak bersetuju untuk memberikan peluang kedua kepada pelajar yang terlibat kes buli kerana memegang prinsip ‘you touch, you go’ (kamu sentuh, kamu keluar), sejak dilantik sebagai Pengerusi Mara.

“Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.

“Tidak kira anak sesiapa sekali pun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekali pun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil.

“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” katanya.

Semalam, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa pelajar yang disyaki terlbat dalam ke buli di asrama MRSM itu yang tular di media sosial, sudah digantung persekolahan masing-masing.

Katanya, tindakan itu diambil bagi memastikan pelajar-pelajar terbabit tidak mengganggu proses siasatan, selain memberikan mesej jelas pengurusan Mara  dan MRSM tidak sesekali berkompromi dalam isu buli.

“Saya sudah menerima hasil siasatan laporan penuh selepas mengarahkan pengurusan MARA dan Bahagian Pendidikan Menengah melakukan siasatan terperinci berhubung video yang tular itu.

“Hasil siasatan terperinci memang insiden itu benar-benar berlaku di MRSM di utara tanah air.

“Dalam proses siasatan ini, semua pelajar terbabit mesti digantung terlebih dahulu agar tidak mengganggu proses siasatan dan kedua memberikan mesej yang jelas bahawa tiada kompromi dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, siasatan awal polis mendapati insiden buli membabitkan sekumpulan pelajar MRSM itu berlaku pertengahan awal tahun lalu membabitkan tujuh pelajar termasuk mangsa berusia 15 tahun yang dikatakan hanya bergurau dan ejek-mengejek sesama sendiri.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 1.31 minit yang memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil tular di media sosial.

Pelajar lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung, namun tidak dapat dipastikan ia adalah suatu gurauan atau perbuatan buli. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya