PETALING JAYA: Penyanyi terkenal Indonesia, Agnez Mo menafikan dakwaan dirinya tidak menerima sebarang tawaran persembahan, sebaliknya memilih untuk hanya mengambil pekerjaan dengan bayaran tinggi.
Agnes Monica Muljoto, 39, berkata, dia sememangnya tidak tergesa-gesa menerima sebarang tawaran kerja, sebaliknya hanya bersetuju sekiranya bayaran yang ditawarkan menepati kehendaknya.
“Ada yang kata saya tiada kerja. Terus terang, saya memang memilih apabila ia melibatkan kerja. Saya lebih suka ambil satu tawaran yang bayarannya besar daripada buat banyak kerja tapi gajinya kecil,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, Agnez dilihat lebih banyak meluangkan masa di Indonesia berbanding Amerika Syarikat, namun tidak banyak muncul dalam konsert atau persembahan di tanah airnya itu.
Situasi itu mencetuskan spekulasi bahawa kerjaya luar negara Agnez tidak berjaya seperti yang diharapkan, selain dikatakan semakin kurang mendapat perhatian di Indonesia.
Namun, Agnez berkata, keutamaannya kini lebih kepada kualiti kerja dan masa yang diluangkan.
“Kalau ada banyak pilihan, saya tidak terburu-buru. Saya pilih satu yang benar-benar saya mahu. Bayaran yang saya terima itu cukup untuk menyara hidup selama bertahun-tahun,” katanya.-UTUSAN