Bukan klon Sudirman, Arish Mikael ada identiti sendiri - Utusan Malaysia

Bukan klon Sudirman, Arish Mikael ada identiti sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA kali saya menyaksikan persembahan pendatang baharu, Arish Mikael adalah ketika dia membarisi senarai penghibur bagi konsert penghormatan untuk Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad di Dewan Filharmonik Petronas sekitar September 2023.

Benarlah apa yang dilaporkan media sebelum ini, penyanyi berusia 21 tahun ini ibarat jelmaan semula bekas penghibur nombor satu Asia itu. Suara dan gaya nyanyiannya mirip Sudirman.

Dan ketika Arish mendendangkan lagu Hujan, dan deretan medley Apa Khabar Orang Kampung, Sepetang Di Pinggir Bukit, Anak Gembala serta Joget Kenangan Manis, penonton terpesona.

Ketika itu, kalau dipejamkan mata, memang umpama benar-benar mendengar Allahyarham menyanyi secara live, depan-depan.

Saban tahun Arish Mikael dibayangi Sudirman. Ada pula yang menjangkakan dia bakal meneruskan legasi yang ditinggalkan bintang bertaraf megastar yang berasal dari Temerloh, Pahang itu.

Namun jauh di sudut hati pemilik nama sebenar Arish Mikael tiada sekelumit pun kehendak mahu menjadi Sudirman kedua, apatah lagi klon penyanyi tersebut, meskipun dia cukup mengidolakan arwah.

Arish miliki identiti, kebolehan dan aspirasi muzikal yang tersendiri. Dan peluang untuk menyerlah identiti sendiri terbuka seluasnya buat Arish yang kini dinaungi syarikat rakaman popular milik sifu, Datuk M. Nasir iaitu Luncai Emas.

“Saya tidak nafikan saya mahu menjadi penyanyi seperti Sudirman.

“Sejak dulu saya rujuk karya dan nyanyian beliau, belajar menerusi naskhah muzikal beliau.

“Memang benar, beliau adalah penyanyi yang menjadi inspirasi kepada saya.

“Tetapi tidaklah saya mahu meniru, apatah lagi menjadi klon Sudirman,” tegasnya.

TIADA ‘SUDIRMAN’ DALAM SUARA ARISH MIKAEL
Selepas penghasilan single Nukilanmu, Arish melangkah setapak lagi dengan kelahiran lagu Antara Puisi dan Rautmu yang dilancarkan tidak lama sebelum ini.

Ramai netizen yang memuji pasukan Luncai Emas kerana berhasil menjarakkan Arish Mikael dengan bayangan Sudirman yang mendampinginya sejak awal dia dikenali di laman sosial.

Malah, Arish menonjolkan sisi kreativiti dalam penciptaan lagu dan penulisan lirik terutamanya menerusi Antara Puisi dan Rautmu.

Menurut M. Nasir, Arish memiliki keunikan pada vokalnya dan kebolehan serta kreativiti pada sudut penciptaan lagu.

Disebabkan itulah, pihak Luncai Emas tidak teragak-agak untuk sedia membimbing bagi mengembangkan potensi Arish.

“Dia ada kelebihan, terutama pada nyanyiannya. Saya sebelum ini memang mengikuti nyanyiannya. Saya tak dengar pun ‘Sudirman’ pada persembahan vokalnya.

“Dulu, saya yang rakam nyanyian Sudirman, jadi saya tahu membezakan. Memang suara Arish tak sama dengan Sudirman. Mungkin orang dengar sama sebab dia nyanyi lagu Allahyarham.

“Ada sesuatu yang menarik mengenai Arish. Dia ini ibarat permata yang perlu digilap. Perlu timba lebih banyak pengalaman dan belajar selok belok dunia rakaman lagu.

“Suaranya juga unik, belum pernah ada dalam pasaran. Suara macam ini yang penerbit mahukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya