PETALING JAYA: Pelakon, Rita Rudaini menyokong keras tindakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mencadangkan supaya pelajar yang terlibat dengan kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditamatkan pengajian.
Lantang membahaskan isu tersebut, Rita turut berpendapat jenayah buli yang melibatkan institusi pengajian terbabit tidak boleh diambil ringan
“Yang tak nak belajar sila keluar, yang dah bosan mengajar pun boleh juga keluar. Terima kasih Datuk Dr Asyraf, tindakan yang cepat walaupun benda jadi tahun lepas, pihak maktab tak patut sorok atau ambil ringan.
“Kadang-kadang peraturan yang ketat, tegas tak tentu pasal pun boleh buat budak-budak stres dan mula memberontak.
“Mula buat hal, kacau orang, dari seronok-seronok kacau terus naik taraf ‘buli’. Ada yang tak kacau orang tapi lepaskan stres dengan cara lain, hisap rokok atau vape,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian sama, pelakon filem Mami Jarum itu turut menyifatkan sesetengah pelajar zaman kini tidak mampu berfikir panjang terhadap implikasi sekiranya melakukan jenayah buli.
“Budak-budak sekarang walaupun lahir di zaman canggih tapi otak mereka tak secanggih budak-budak zaman dulu.
“Budak-budak dulu nak buat satu benda memang pikir 100 kali sambil terbayang kena libas. Budak-budak sekarang buat dulu, nanti bila free fikir,” jelasnya.
Selain itu, Rita turut berpendapat keperibadian seseorang anak terbentuk melalui cara didikan kedua-dua ibu bapa dari rumah.
“Didikan juga bermula dari rumah. Nak tengok peribadi seseorang, tengok dengan siapa dia berkawan.
“Ketegasan dan kekerasan itu berbeza. Hormat dan takut mana satu pilihan. Maktab tak salah, mana-mana sekolah pun sama. Yang tak betul tu perangai dan sikap manusia,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah video seorang pelajar lelaki yang dipercayai penuntut MRSM Pulau Pinang telah dibuli oleh sekumpulan pelajar dalam keadaan tertiarap. -UTUSAN