SEREMBAN: Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 mengambil tindakan pantas apabila memadamkan pembakaran terbuka di kawasan berisiko di Taman Bukit Sendayan, di sini, pagi semalam.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd. Nizam Yom berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian berkenaan pada pukul 8.30 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pembakaran, didapati lokasi tersebut merupakan lokasi pembakaran sampah haram pukal seperti perabot, kotak dan barangan plastik.
“Malah, dengan jelas tertera lokasi pembuangan sampah haram itu ialah papan tanda amaran mengenai laluan paip gas berhampiran kawasan.
“Pembakaran terbuka kemudiannya menyebabkan kebakaran seluas kira-kira 200 kaki persegi.
“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.14 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ujar Mohd. Nizam lagi, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati serta mempunyai kesedaran sivik terhadap kaedah pelupusan sampah yang sesuai.
Menurutnya, kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada individu yang membakar sampah pukal tersebut walaupun papan tanda amaran sudah berada di lokasi tersebut.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat memastikan sama ada lokasi kebakaran itu merupakan laluan paip gas tetapi memang terdapat papan tanda amaran di situ yang perlu dipatuhi secara bersama bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.-UTUSAN