TAPAH: Barisan Nasional (BN) yakin dapat meraih sokongan pengundi muda dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keyakinan itu berdasarkan kekuatan jentera Pemuda BN dan Pakatan Harapan (PH) yang bekerja keras menarik sokongan orang muda.
“Seramai 46 peratus pengundi muda daripada 31,897 pemilih berdaftar yang akan menentukan kemenangan ini berpihak kepada kita.
“Terdapat 1,856 pengundi baharu. Orang muda sendiri yang memahami cara, kecenderungan dan menangani mereka,” katanya ketika berucap di Arena Square, Kampung Tanjung Keramat di sini, semalam.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Angkatan Muda Harapan PRK DUN Ayer Kuning.
Katanya, persahabatan BN dan PH bukan sekadar sekerat jalan dan kerjasama itu telah terserlah dalam beberapa siri PRK yang lalu.
BN diwakili Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, manakala calon Pas, Abd. Muhaimin Malek mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK itu sementara Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempertaruhkan Bawani K.S, 40. – UTUSAN