Bilang: Satu karya hebat terpinggir Aina Abdul - Utusan Malaysia

Bilang: Satu karya hebat terpinggir Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA, dari awal penyanyi, Aina Abdul menerbitkan album debutnya, Imaji (2023), saya sudah menjangka banyak lagu akan ‘terbazir’ kerana kebanyakan lagu hanya berkitar dalam format serupa. 

 

Lagu saya maksudkan antaranya Kunci, Penat Jiwa, Lost, Bukan Untukku, Sedia Terluka, Kejam, Sesal dan Satu Rasa kerana saya tidak melihat ada peluang yang cerah untuk mencetus satu trend dan budaya muzik baharu jika mengambil ruang pasaran muzik yang lebih besar. 

 

Lagi pun, Aina hanya membawa dua produk sebagai teraju utama membawa Imaji ke persada muzik negara iaitu Jangan Mati Rasa Itu dan Puas Sudah. Kemudian, dia mengekstrak Kamu sebagai single beredar selepasnya, tetapi, ia masih terasa suram walaupun siap hadir dengan video muziknya.

 

Maka, saya berfikir, Aina memerlukan banyak masa untuk memasarkan baki-baki karyanya yang masih terpinggir. Itu pun, jika benar dia memang ada perancangan ke arah itu. 

 

Sekarang, Imaji sudah berumur dua tahun, persoalannya, apakah pengukur kepada kejayaan Aina memandangkan ia merupakan album komersial pertamanya? Sekarang pula, dia dalam proses menyiapkan album kedua menyaksikan jarak diskografinya terlalu rapat dan bercelaru.

 

Selepas itu, muncul pula album dalam versi deluxe menambah tiga lagi lagu berjudul Menua, Jadi Ajar Aku dan Gentayangan dan ya, formatnya terus berputar dalam zon yang selesa. 

 

Secara keseluruhan, hanya sedikit daripada 17 lagu saya boleh angkat sebagai lagu killer seperti Jangan Mati Rasa Itu, Puas Sudah, Kamu dan Jadi Ajar Aku walaupun terkadang saya lelah kerana Aina jiwanya ‘kacau’, lalu kekacauan itu dicerminkan melalui segala jerit-jeritan dalam setiap jalinan melodinya.

 

Pun begitu, di sebalik ketidaktarikan saya terhadap semua rangkaian lagu berkenaan, satu lagu yang benar-benar mengikat pendengaran saya iaitu Bilang – balada yang memiliki ciri-ciri khas yang membezakan karya itu daripada lagu lain yang hanya bersifat filler. 

 

Bilang, mempunyai ciri-ciri muzik opera klasikal Barat baik dari segi melodi dan nyanyian. Ini dapat didengari menerusi rangkap korus:

 

Bilang padaku, bilang

Apakah cinta ini tak memberi?

 

Bilang padaku, bilang

Kerna rasa ini teguh menanti

 

Janjiku, sumpahku, kubelai hatimu

Yang mungkin berbekas untukku

 

Ada beberapa bahagian melodi yang saya suka seperti di baris:

 

“Apakah hati ini, kuat untuk berlagu sendiri?”

 

Sebenarnya, menyuntik elemen klasikal Barat khususnya dari teknik nyanyian opera bukanlah ukuran kepada bagus atau tidak suatu lagu tempatan Melayu. 

 

Bagaimanapun, sebagai pendengar dan peminat lagu-lagu klasikal Barat, Aina membuka pendengaran dan memberi saya satu pembaharuan dalam rangkaian lagu-lagunya yang biasa saya dengar. 

 

Selain itu, tidak ramai penyanyi tempatan yang menyesuaikan tahap vokal, jenis lagu dan attitude bernyanyi mereka dengan elemen klasikal Barat kecuali Syafinaz Selamat, Ernie Zakri, Ning Baizura dan Nikki Palikat. 

 

Bilang juga terhasil menerusi jaluran melodi yang kedengaran syahdu dan soothing selain tidak bergabung dengan terlalu banyak instrumen muzik yang membuatkan lagu kedengaran ‘sesak’, mengganggu dan melelahkan.

 

Di awal penerbitan Imaji, Aina pernah memberitahu, ada antara lagunya yang mengambil ilham daripada muzik Eropah dan mungkin, Bilang lah lagu yang dia maksudkan selama ini.

 

Kekurangan lagu ini pada penulisan liriknya yang terlalu singkat singkat, tidak kreatif serta berulang dan itulah masalah yang sering kali timbul dalam penulisan lagu-lagu Melayu zaman sekarang. 

 

Walaupun mungkin tidak banyak yang berubah dari aspek turun naik graf melodinya, Aina sepatutnya menjadi lebih bijak dengan mengembangkan permainan bahasanya supaya pendengar tidak merasa bosan akibat pengulangan. 

 

Dalam siri dan jelajah konsert Imaji Aina anjurkan sebelum ini, Bilang sentiasa berada dalam playlistnya dan saya tidak akan lupa saat dia menyanyikannya Bilang semasa persembahannya bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), tahun lalu. 

 

Bagaimanapun, hingga saat ini, dalam pasaran muzik arus perdana, Aina mengetepikan Bilang sebagai satu produk yang boleh-pasar. Ia jelas terbukti selepas dia mengeluarkan album deluxe Imaji dan menjadikan Jadi Ajar Aku sebagai taruhan baharu. 

 

Kalaulah dia bersabar sedikit dan menjual lagunya satu persatu tanpa perlu lagu tambahan lain, saya percaya, Bilang punyai peluang dan keadilan untuk berdiri sebagai lagu pop balada yang berdiri setanding Jangan Mati Rasa Itu dan Puas Sudah.

 

Pun begitu, selepas kekalahan Puas Sudah dan Aina pulang dengan tangan kosong di Anugerah Juara Lagu ke-39 (tolak  tepi soal Anugerah Persembahan Terbaik) , saya tidak rasa yang dia akan memberi peluang lagi kepada baki lagunya sebagai karya yang boleh sing along di pentas-pentas besar. 

 

Saya faham, sebagai penyanyi berdiri di atas kaki sendiri tanpa bernaung dengan syarikat rakaman dan pengurusan artis, Aina terpaksa berhadapan dengan ‘politik kecil’ dalam industri muzik negara yang menyebabkan banyak lagunya sukar diedar dan dipasarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya