KLANG: Bidaan nombor pendaftaran istimewa siri A A berjaya merekodkan kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM24.02 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bidaan yang dibuka sejak 19 April lalu itu menerima penyertaan seramai 24,470 orang dalam tempoh lima hari.
Jelas beliau, sebanyak 6,746 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.
“Berdasarkan rekod, paling tinggi dibida ialah A9A dengan nilai RM902,020 diikuti A11A (RM703,007), A8A (RM700,000), A7A (RM502,000) dan A2A (RM490,888).
“Lima nombor yang paling banyak dibida adalah A51A iaitu 40 pembida, A101A (31) dan A8118A (29) selain A1881A serta A19A iaitu 27 pembida,” katanya dalam sidang akhbar
Selepas melancarkan program Latihan Pemandu Pengangkut Kereta bagi Pengendalian Kenderaan Elektrik (EV) di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang (PKCT), Pulau Indah, di sini hari ini.
Tambah Anthony Loke, hasil bidaan siri A A itu merupakan usaha Kementerian Pengangkutan dalam merealisasikan hasrat kerajaan melaksanakan inisiatif tersebut.
“Ia termasuk pelaksanaan program MyLESEN, Program Pertukaran Topi Keledar, Program FlySISWA dan pelbagai inisiatif MOT untuk rakyat.
“Separuh daripada hasil bidaan iaitu RM12 juta akan dikembalikan kepada kementerian bagi melaksanakan inisiatif kepada rakyat terutama melibatkan keselamatan jalan raya,” ujarnya.
Tambah beliau, sambutan pembida bagi nombor siri itu amat luar biasa dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus berusaha memantapkan perkhidmatan terbaik termasuk digital.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan JPJ mengeluarkan nombor pendaftaran siri A A sebagai menyambut ulang tahun Hari JPJ ke-79 yang diadakan di Perak.
Nombor siri itu dibuka bidaan selama lima hari secara dalam talian sistem JPJeBid bermula 19 April hingga pukul 10 malam tadi. Nombor pendaftaran istimewa itu tanda indeks prefiks A (hadapan) dan surfiks A (belakang). – UTUSAN