Bidaah mendunia, ‘jajah’ Indonesia - Utusan Malaysia

Bidaah mendunia, ‘jajah’ Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKHIRNYA, kita boleh berbangga dan mungkin ‘bermegah’ apabila drama tempatan kita, Bidaah (terbitan Viu) mendunia sehingga ‘menjajah’ Indonesia dengan lebih 2.5 bilion tontonan termasuk sohor kini di tangga pertama.

Tak silap Poklip, ini mungkin kali pertama (atau mungkin kedua) naskhah tempatan kita berjaya menembusi pasaran drama di negara seberang yang kita semua sedia maklum memang hebat dengan barisan sinetronnya.

Sekian lama kita menantikan sebuah naskhah yang benar-benar mendunia di negara itu. Bidaah adalah bukti drama tempatan, idea penerbit tanah air boleh menarik perhatian dan minat penonton di luar negara.

Walaupun sebelum ini kita boleh berbangga dengan drama Melur Untuk Firdaus, Nur dan siri animasi yang cukup gila penerimaannya, Upin Upin, ternyata Bidaah membuka lebih banyak mata terhadap potensi dan kehebatan anak tempatan.

Bayangkan, Faizal Hussein yang membawa watak Walid tular di Tiktok. Malah, peminat Indonesia mula membongkar gambar-gambar lamanya sebagai bukti kekacakan dan kehebatan aktor itu.
‘Pejamkan mata dan bayangkan muka Walid!’ – Ini antara dialog yang sedang bertebaran di Tiktok Malaysia dan Indonesia.

Pada mulanya, Poklip faham jika ada yang kurang setuju atau mungkin mengecam Bidaah yang tular dengan beberapa adegan kurang manis untuk dipertontonkan. Tetapi, mungkin itu juga ‘magnet’ yang menarik tontonan.

Selain barisan pelakon handalan seperti Faizal Hussein, Fattah Amin, Vanidah Imran dan ramai lagi, rasanya jalan cerita drama tersebut juga begitu dekat dengan realiti yang berlaku di negara seberang.

Kita semua sering didedahkan dengan beberapa dakwaan ‘penunggang agama’ yang menjadikan Islam sebagai taktik mengumpul dana atau menyebarkan ajaran sesat yang dipercayai berleluasa di negara tersebut.

Maka, Bidaah mungkin adalah cerminan realiti yang sedang ‘menghantui’ umat Islam di sana. Tetapi di Malaysia juga, ada kejadian serupa yang mungkin belum didedahkan. Kalau tidak, mana dapat idea kan?

Walaupun ada juga cakap-cakap belakang yang mengkritik sinematografi, plot dan lakonan dalam Bidaah namun sekurang-kurangnya jalan ceritanya menjadi. Itu adalah kunci utama yang menarik tontonan.

Letaklah pelakon sepopular mana, sinematografi bertaraf Oscar sekali pun, kalau jalan cerita merepek dan ‘hampeh’, mesti susah nak jalan kan. Tetapi peliknya, ada juga sebenarnya sinetron di sana yang merepek ‘meraban’.

Kadang-kadang kita pun susah hendak faham, apa drama itu mahu sampaikan? Pening sekali mas! Cuma itulah, apa yang dipertontonkan sangat dekat dengan realiti di sana. Itu yang menakutkan penerbit drama kita.

Bila buat sesuatu yang panas dan bersifat realiti, pasti ada sahaja yang berbunyi dan kecam. Kenapa? Takut berdepan kenyataan atau macam mana? Sampai bila kita mahu terpuruk dalam ruang cerita sama?

Bukan salah penerbit pun, kadang-kadang stesen TV terikat dengan pelbagai ‘garis panduan’ atas angin. Itu tidak boleh, ini tidak boleh. Maka tetaplah kita dengan drama yang lebih kurang sama.
Sudah tiba masa, kita lebih terbuka dan menerima kenyataan, ada sahaja perkara di luar pemikiran manusia berlaku. Sama ada kita tahu atau tidak. Banyak sahaja kes dalam fail mahkamah yang boleh didramakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya