JOHOR BAHRU: Syarikat subsidiari Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad, BHPetrol merancang untuk melabur RM90 juta bagi membina 30 stesen minyak baharu di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azizul Azily Ahmad berkata, pembinaan stesen-stesen tersebut akan difokuskan di kawasan luar bandar bagi memastikan bekalan minyak bersubsidi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk anggota pertahanan negara.
“Sebagai anak syarikat LTAT, BHPetrol komited memperluas akses kepada bahan api bersubsidi dan sah, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada minyak dalam botol,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian BHPetrol Bandar Seri Alam dan Sambutan Aidilfitri di sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sebelum ini, BHPetrol dilaporkan melabur RM45 juta bagi pembinaan 10 stesen minyak luar bandar melalui MoU bersama lapan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Stesen BHPetrol Bandar Seri Alam yang baru dirasmikan merupakan fasiliti ke-82 di Johor dan bakal memperkukuh jaringan bahan api bersubsidi di negeri ini. – UTUSAN