PETALING JAYA: Pelakon, Beto Kusyairi, 45, dengan keras menolak sebarang permintaan untuk melakonkan babak yang berunsurkan seksual dalam filem mahupun drama.
Kata pemilik nama sebenar Nur Kusyairi Zakuan Osman, hal tersebut kerana dia enggan lakonan-lakonan itu selamanya tersimpan di Internet dan ditonton keluarga di kemudian hari.
Saya akan tolak habis-habisan babak melibatkan katil. Memang saya tak pernah buat babak intim sebegitu waima merogol sekali pun.
“Prinsip itu saya pegang kerana mahu menjaga sensitiviti keluarga. Sebab, kalau saya buat (babak intim), ia akan jadi khazanah yang boleh ditonton semua orang dalam Internet sampai bila-bila,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada masa yang sama, Beto juga enggan melakonkan watak seorang penunggang agama seperti ustaz scammer yang makan duit anak yatim dan sebagainya.
“Saya tak mahu watak sebegitu wujudkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap ustaz yang baik-baik di luar sana. Nanti asal berjubah, orang akan ‘cop’ tak boleh pakai, sedangkan memang seorang pendakwah,” kongsinya.
Sementara itu disoal adakah dia juga akan mengikut jejak seperti pelakon tempatan lain yang menerima watak-watak lelaki songsang, Kata Beto, perkara itu adalah bergantung kepada jalan cerita drama atau filem terbabit.
“Kalau watak Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) ini saya tengok pada jalan cerita. Kalau pada awalnya watak itu teruk dan di hujung cerita dia berubah, mungkin saya akan pertimbangkan.
“Tapi sebolehnya, saya cuba lakonkan watak LGBT ini sebab saya tak mahu menggalakkannya,” jelasnya. – UTUSAN