BESUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menangkap seekor beruang matahari di Kampung Padang Bual, dekat Hulu Besut, hari ini.
Pengarahnya, Loo Kean Seong, berkata, beruang jantan seberat 110 kilogram (kg) itu ditangkap di ladang sawit susulan aduan dibuat orang awam pada 12 April lalu.
“Sejurus selepas menerima laporan, kami memasang perangkap di lokasi berkenaan dan haiwan liar itu disedari memasukinya hari ini.
“Ketika ditangkap, haiwan terbabit dalam keadaan stabil dan sihat sebelum dilepaskan ke habitat asal untuk kemandiriannya,” katanya di sini hari ini.
Kean Seong meminta pemilik kebun sentiasa memastikan keadaan persekitaran kebun bersih agar tidak mengundang kehadiran haiwan liar. – UTUSAN