Bersatu berjaya batal saman Suhaili

Bersatu berjaya batal saman Suhaili

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya membatalkan saman yang difailkan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman berhubung pengguguran keahliannya secara automatik oleh parti berkenaan.

 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Hayati Mat memutuskan demikian selepas saman tersebut tidak mempunyai merit.

 

Selepas membenarkan permohonan parti berkenaan, mahkamah turut memerintahkan Suhaili untuk membayar kos sebanyak RM5,000.

 

Pada 1 Ogos 2024, Bersatu memohon untuk membatalkan saman tersebut atas alasan tuntutan plaintif adalah mengaibkan, menyusahkan, remeh dan satu penyalahgunaan proses mahkamah bagi mencapai satu motif tersembunyi.

 

Selain itu, Bersatu menyatakan Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan saman itu kerana terikat dengan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

 

Seksyen 18C menyatakan bahawa keputusan parti politik atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya atau oleh perlembagaan adalah muktamad dan konklusif dan keputusan tersebut tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa jua alasan.

 

Pada 1 Julai 2024, Suhaili memfailkan saman terhadap Bersatu antara lainnya memohon perisytiharan bahawa pengguguran keahliannya secara automatik daripada parti itu adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang.

 

Menurut penyataan tuntutannya, pada 3 November 2023, beliau menulis surat kepada Lembaga Disiplin untuk menjelaskan bahawa kenyataannya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat kerana kegagalan parti menyediakan dana untuk membantu rakyat di Labuan.

 

Suhaili seterusnya berkata, walaupun memberikan penjelasan yang sah dan munasabah, Lembaga Disiplin secara salah di sisi undang-undang dan tidak rasional memutuskan untuk menggantung keahliannya bagi tempoh enam tahun pada 7 November 2023.

 

Katanya, susulan dari penggantungan itu, beliau menyaman Bersatu melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 19 Disember 2023, bagaimanapun kes itu dibatalkan atas alasan bidang kuasa wilayah mahkamah.

 

Pada 17 Mei 2024, Suhaili memberitahu telah sepucuk surat daripada Setiausaha Agung parti yang menyatakan bahawa beliau telah keahliannya telah digugurkan secara automatik oleh parti atas alasan memfailkan saman (terhadap Bersatu) berdasarkan Artikel 10.2.6 dan kerusi parlimennya perlu dikosongkan.

 

Oleh itu, Suhaili yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memohon perisytiharan antaranya bahawa pengguguran keahliannya yang salah di sisi undang-undang, tidak sah dan bertentangan Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

 

Seksyen 124B menyatakan, barang siapa, dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun.

 

Beliau turut memohon perisytiharan di bawah Seksyen 41 Akta Relief Spesifik 1950 bahawa Artikel 10.2.6 Perlembagaan Bersatu adalah bercanggah dan bertentangan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan sama rata di sisi undang-undang).

 

Turut dipohon, satu perisytiharan bahawa beliau berhak di bawah Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan untuk mencabar pengguguran keahliannya dalam Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya