PETALING JAYA: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sudah menyalurkan keseluruhan Peruntukan Bantuan Khas Pesawah berjumlah RM90 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Bernas berkata, penyaluran peruntukan tersebut adalah selaras dengan komitmennya dalam menyokong usaha kerajaan membela kebajikan pesawah miskin.
Menurutnya, peruntukan khas fasa pertama sebanyak RM60 juta disalurkan secara berperingkat kepada KPKM dan pembayaran akhir berjumlah RM15 juta selesai sepenuhnya pada 5 Mac lalu.
“Peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Februari lalu, juga sudah selesai disalurkan kepada kerajaan pada 28 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Bernas berkata, peruntukan khas itu merupakan wang ihsan syarikat BE dan bukannya dana awam.
“Justeru, ia tertakluk kepada tadbir urus kewangan korporat yang ketat dan pematuhan kewangan dalaman untuk kelulusan sebelum dapat disalurkan kepada kerajaan.
“Syarikat ini kekal komited terhadap pelan tindakan jangka panjang KPKM dengan mengutamakan kebajikan pesawah bagi menjamin ketersediaan produk dan mendokong agenda keterjaminan makanan negara,” katanya. – UTUSAN