PUTRAJAYA: Bekas pegawai penyiasat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau telah dipanggil untuk memberi taklimat berhubung siasatan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lima hari selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua.
Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner R. Rajagopal berkata, taklimat itu diberikan dalam bentuk slaid ‘Powerpoint’ di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini.
Turut hadir pada taklimat yang diadakan pada 15 Mei 2018 ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
“Kami memberikan taklimat kepada beliau (Dr. Mahathir) mengenai siasatan dan kami menyatakan ini yang kami lakukan di Malaysia dan beliau hanya meminta kami untuk melengkapkan bukti daripada pelbagai bidang kuasa asing untuk melengkapkan siasatan.
“Ketika taklimat itu, saya mengetengahkan aduan daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengenai penyelewengan dana 1MDB dan menunjukkan hasil daripada dana berakhir antaranya ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak,” kata saksi pembelaan ke-11 itu.
Rajagopal berkata demikian ketika soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.
Terdahulu, bekas pegawai polis itu mengakui bahawa siasatan berhubung penyelewengan dana 1MDB membabitkan Najib semakin rancak dilakukan selepas bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu memberitahu beliau tidak ingat sama ada Dr. Mahathir ada bertanya mengapa siasatan tidak berjalan pantas ketika di bawah pentadbiran Najib.
Katanya, beliau tidak mendapat tanggapan bahawa Dr. Mahathir tidak berpuas hati dengan siasatan polis ketika itu.
Antara tahun 2015 dan 2018, Rajagopal menjakankan siasatan berhubung pecah amanah jenayah yang didakwa membabitkan Lembaga Pengarah dan pengurusan 1MDB, dan tidak menyiasat Najib.
Perbicaraan 1MDB hanya membabitkan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadap Najib. – UTUSAN