KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menyeru kerajaan negeri supaya memberi keutamaan kepada pembinaan Empangan Lebir.
Baginda bertitah, pembinaan itu menjadi keperluan mendesak bagi mengatasi isu banjir di negeri ini.
“Sebagaimana yang beta zahirkan sebelum ini, beta menekankan kepentingan penyelesaian segera terhadap isu banjir tahunan di negeri ini.
“Beta menggesa projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat diberikan disegerakan bagi semua fasa sebagaimana yang dizahirkan sebelum ini,” titah baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 Tahun 2025 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Sultan Muhammad V turut memandang serius isu keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Titah baginda, cadangan pembinaan tembok dan zon penampan di kawasan Sungai Golok perlu dimuktamadkan dengan segera.
“Beta berasa sukacita dengan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam konteks federalisme.
“Beta telah dimakumkan bahawa kerajaan negeri telah menyediakan senarai permohonan Rolling Plan pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Beta berharap fokus dan hala tuju yang dirancang adalah ke arah pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan memacu pembangunan sektor eknonomi serta meningkatkan daya saing negeri di peringkat nasional dan antarabangsa,” titah baginda.
Turut mencemar duli, Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah. – UTUSAN