PETALING JAYA: Telatah pelakon, Bella Astillah dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman terus mencuri tumpuan apabila masing-masing dilihat tidak kekok menunjukkan kemesraan di khalayak.
Menerusi sebuah video yang tular memaparkan Syed Saddiq sempat berseloroh bahawa Bella Astillah akan memarahinya sekiranya dia mencari teman istimewa dari Kelantan.
“Kita mahu juga dengar YB (panggilan untuk Syed Saddiq) cakap bahasa Kelantan. YB nak cari kekasih Kelantan,” tanya Bella Astillah dalam video tersebut.
Bagaimanapun, jawapan yang diberikan Saddiq berjaya mengundang perhatian dan ketawa orang ramai.
“Kalau saya cari kekasih Kelantan, orang tepi saya yang marah nanti.
“Saya di sini sebenarnya sebagai penonton yang mahu dengar Bella nyanyi. Semua nampaknya sudah tunggu,” katanya disambut tepukan penonton.
Bella dan Saddiq hadir ke Kelantan bagi merasmikan sebuah makanan jenama tempatan di Kok Lanas, Kelantan pada Ahad.
Lebih 2,000 peminat dilaporkan hadir untuk bertemu kedua-dua figura itu sejak pukul 11 pagi.
Terdahulu, Syed Saddiq mencuri tumpuan apabila meminta orang ramai mendoakannya dengan Bella ketika ditanya mengenai hala tuju hubungan mereka. -UTUSAN