PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari digesa untuk lebih matang dan menghentikan politik ‘murahan’ di tengah insiden kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, Ahmad Fadhli tidak tahu membaca keadaan dan lebih memilih untuk terus bermain politik ‘murahan’ dengan menabur sindiran serta fitnah.
Kata beliau, rakyat terutama mangsa insiden di Putra Heights sedang memerlukan empati dan bantuan.
“Fadhli tidak pernah gagal untuk mengkritik, walau dalam apa jua keadaan. Dalam setiap krisis, beliau tampil bukan untuk membantu tetapi untuk mengkritik tanpa asas.
“Tindakannya bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menambah luka di saat rakyat sedang merintih. Di mana semangat menjaga tanah air? Di mana rasa hormat kepada mangsa?
“Kalau benar berlaku bencana besar di negara ini, na’uzubillah, saya berdoa agar tiada lagi ahli politik seperti ini yang hanya tahu menyalahkan dan mencari populariti atas penderitaan rakyat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fadhli menyindir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dengan menyarankan beliau untuk bercuti selepas melakukan penafian awal mengenai keberadaan ekskavator berhampiran saluran paip gas.
Mohd. Razlan turut menyeru semua pihak untuk menolak politik ‘sempit’ yang dibawa oleh Pas.
“Ini bukan masa untuk berpolitik, ini masa untuk bersatu, mencari titik persamaan dan menghulurkan bantuan. Negara tidak akan ke hadapan jika masih ada ahli politik yang suka ‘menangguk di air keruh’.
“Cukuplah Ahmad Fadhli, belajarlah untuk menjadi matang. Politik yang tidak berjiwa rakyat tidak akan ke mana.,” katanya. – UTUSAN