ISKANDAR PUTERI: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan meninggal dunia ketika berada dalam jagaan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Kangkar Pulai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu daripada ibu mangsa yang berusia 31 tahun pada pukul 4.24 petang semalam.
“Pengadu memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri ketika cuba dikejut daripada tidur oleh pengasuhnya, iaitu seorang wanita tempatan berusia 34 tahun.
“Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital. Bedah siasat dibuat tidak mendapati sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kumarasan berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Namun, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.
“Walau bagaimanapun, setakat ini belum ada tangkapan dibuat,” katanya. – UTUSAN