JASIN: Kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki menerima basikal baharu daripada ayahnya bertukar tragedi apabila dia dan ibunya cedera selepas jari mereka tersepit pada rantai kenderaan itu di rumah mereka di Taman Merlimau Permai di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.39 pagi itu, mangsa, seorang wanita berusia 32 tahun dan anak lelakinya berumur enam tahun mengalami kecederaan ringan ketika cuba membetulkan rantai basikal yang terlucut.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Sufian Abu Bakar, sebaik menerima panggilan kecemasan sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dikerahkan ke lokasi sejauh tiga kilometer dari balai.
“Sebaik tiba pada pukul 9.43 pagi, kami mendapati jari telunjuk mangsa tersepit pada rantai basikal. Difahamkan, basikal tersebut merupakan hadiah daripada bapa kanak-kanak itu yang baharu sahaja membelinya.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan jari mangsa menggunakan peralatan penyelamatan khas dan memberikan rawatan awal sebelum membawa mereka ke klinik berdekatan,” katanya. – UTUSAN