KOTA BHARU: Sebanyak lapan buah bas elektrik bernilai RM11.2 juta memulakan operasi secara rasminya di Kelantan bermula Julai ini dengan nama bas.my Kota Bharu.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail berkata, peringkat awal bas tersebut beroperasi di empat laluan sekitar bandar ini.
Katanya, ia melibatkan laluan Kota Bharu-Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra-Sabak, Kota Bharu-Panchor-Kemumin-Sabak, Kota Bharu-Pengkalan Chepa dan Kota Bharu-Pantai Cahaya Bulan.
“Alhamdulillah, Kelantan menjadi lokasi pertama yang menawarkan perkhidmatan ini di kawasan Pantai Timur. Kadar tambang untuk bas itu sama dengan perkhidmatan yang telah sedia ada buat masa ini sebagaimana ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya semasa Majlis Rumah Terbuka Konsortium E-Mutiara-Semesra Syawal, di sini, hari ini.
Che Ibrahim berkata, perkhidmatan bas elektrik itu menggunakan konsep tanpa tunai kepada setiap pelanggan.
Katanya, bas tersebut menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
“Bagaimanapun, mereka perlu berdaftar sebanyak RM10 dengan E-Mutia bagi kemudahan itu seumur hidup. Untuk pelajar mereka hanya perlu memakai seragam dan perkhidmatan percuma itu untuk hari persekolahan sahaja.
“Bagi pelajar IPT mereka perlu menunjukkan kad matrik sebagai bukti. OKU dan warga emas mereka perlu menunjukan kad pengenalan atau kad pengesahan,” katanya. – UTUSAN