SHAH ALAM: Seorang pemuda menjadi korban kedua banjir apabila maut terkena renjatan elektrik dipercayai ketika mengecas telefon bimbit di sebuah rumah di Kampung Padang Jawa di sini, hari ini.
Mayat lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditemukan orang awam yang menghubungi polis pukul 6.11 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati premis itu merupakan sebuah lot rumah satu tingkat.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dan berpakaian lengkap di dalam rumah tersebut.
“Tiada kesan pergelutan dan kecederaan lain pada tubuh mangsa yang boleh menyebabkan kematiannya. Siasatan mengesyaki mangsa terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas dalam keadaan rumah dinaiki air,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Mohd. Iqbal, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat.
“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). Mereka yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau balai polis berdekatan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada menggunakan barangan elektrik dan elektronik ketika musim banjir bagi mengelak risiko terkena renjatan elektrik.
Terdahulu, seorang lelaki warga Sri Lanka turut maut terkena renjatan elektrik di sebuah stor barang binaan di Taman Alam Indah, Seksyen 25 di sini, pagi tadi.
Mayat mangsa berusia 27 tahun itu ditemukan orang awam pukul 10.51 pagi dan seekor anjing turut mati di sisi mayat tersebut. – UTUSAN