BUKIT MERTAJAM: Masjid yang dibangunkan atas dasar takwa mampu menjadi senjata terbaik untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam hal ini, niat yang tidak betul dalam membangunkan masjid boleh memecah-belahkan perpaduan ummah di negara ini.
Beliau berkata, al-Quran ada menyatakan bahawa sekiranya sesebuah masjid itu diasaskan kerana ketakwaan terhadap Allah, nilai murninya akan membawa perpaduan dalam masyarakat, memahat keimanan serta menjaga keharmonian masyarakat.
“Ia (pembangunan masjid) bukan untuk menunjuk-nunjuk akan kehebatan dan kemegahan. Itu disebut, masjid diasaskan (dibina) atas ketakwaan.
“Tetapi kalau niatnya tidak betul, kalau perjalanannya itu tidak membawa kepada penghayatan Islam, kefahaman yang baik, perpaduan dalam masyarakat, keprihatinan terhadap nasib kariah keseluruhannya, maka, masjid itu jadi tempat kerosakan.
“Peringatan ini sangat menakutkan kita dan terserah untuk kita pilih yang mana. Sama ada mahu menjadi manusia baik yang mematuhi perintah Allah atau sebaliknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembinaan Semula Masjid Jamek Cherok Tokun Bawah di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar turut mengingatkan bahawa manusia terutamanya pemimpin sering diuji dengan sikap buruk seperti tamak haloba. Justeru, katanya, institusi masjid perlu dijiwai dan dijadikan medan takwa.
“Tepat sekali, al-Quran ada berkata, manusia ini boleh menjadi serendah-rendahnya dan tamak sedangkan ular sawa pun tahu berhenti makan apabila kenyang.
“Beli rumah di Kuala Lumpur, New York, London pula dan duit (diambil) daripada harta orang (rakyat). Yang nak belajar pun susah, nak bayar bil sakit, makan pun susah. Itu sebabnya kita nak jadikan Kerajaan Madani ini perubahan yang sebaiknya,” katanya.- UTUSAN