SEPANG : “Ibu mana yang tidak doakan anak-anaknya,”
Demikian kata ibu kepada pelakon dan pelawak, Along Cham, Siti Habsah Kadir yang sebak apabila mengenangkan ujian yang menimpa anaknya itu pada waktu ini.
Akui Habsah, sebagai ibu, dia juga sentiasa mengiringi Along dengan doa-doa yang baik biarpun sudah setahun tidak berpeluang bertemu mata dengan anaknya itu.
“Ibu mana yang tidak mendoakan untuk anaknya walau apa pun terjadi. Sama ada baik atau buruk, dia tetap anak kita dan sentiasa mendoakannya.
“Walau tak pernah jumpa selama setahun, saya tetap mendoakan dia. Kemaafan tetap saya berikan pada dia,”katanya.
Habsah berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Sepang, di sini, hari ini.
Selain itu, Habsah berkata, dia juga bersyukur kerana Along dapat menyambut hari raya Aidilfitri dengan keluarga pada tahun ini sekali gus membolehkannya menyediakan segala juadah kegemaran anaknya itu di rumah.
“Bersyukur sangat-sangat sebab dapat anak saya kembali . Saya ini tak pernah berpisah dengan dia pun.
“Macam-macam dia punya permintaan itu. Laksa Johor, rendang, apa sahaja dia minta saya buatkan sahaja.
“Tak pernah nak kecewakan dia. Tapi tahun lepas bila tak dapat masak untuk dia rasa sedih juga,” katanya.
Sementara itu, Along juga meluahkan rasa syukur kerana dapat meluangkan masa bersama ibunya pada tahun ini.
“Alhamdulilah, saya pun makin tembam sebab mak saya masak sedap-sedap. Bahagia raya kali ini, cuma kena turun naik mahkamah sajalah.
“Itu sahaja berbeza untuk syawal tahun ini. Kalau ada yang kata saya nampak lebih terurus, itu sebab mak buat rawatan wajah saya setiap hari (seloroh).
“Gurau sahaja, mak saya masak sedap, jadi saya minta apa sahaja dapat,”katanya.
Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 24 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes pelakon dan pelawak terbabit.
Tetapan tarikh itu adalah bagi pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.49 gram di sebuah rumah di Cyberjaya, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Ketika prosiding di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan, pihak pendakwaan juga diarahkan untuk menyerahkan dokumen laporan urin pada tarikh berkenaan.-UTUSAN