Atlet Perlis digesa cipta kejayaan di peringkat lebih tinggi 

Atlet Perlis digesa cipta kejayaan di peringkat lebih tinggi 

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (lima dari kiri) berkenan menyempurnakan Pelancaran Logo Rasmi Baharu Majlis Sukan Negeri (MSN) di Dewan Warisan, Kangar, Perlis,hari ini. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelancaran logo rasmi Majlis Sukan Negeri (MSN) yang baharu simbol transformasi memperkasa pembangunan sukan berprestasi tinggi di Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, logo yang terpilih melalui pertandingan umum itu juga melambangkan semangat keberanian, kekuatan dan keteguhan pasukan. 

Titah baginda, lakaran singa yang dibentuk daripada huruf MSNPs adalah mewakili integrasi identiti organisasi dengan simbolik kekuatan singa dan mencerminkan tekad bagi melahirkan atlet berdaya saing hingga ke pentas dunia termasuk Sukan Olimpik.

“Semoga dengan imej korporat yang baharu ini, MSN Perlis akan terus memperkukuh usaha pembangunan sukan dan mencipta lebih banyak kejayaan,” titah baginda pada Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis Tahun 2024 Dan Pelancaran Logo Rasmi Baharu MSN di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd. Ridzuan Hashim dan Pengarah MSN negeri, Mohd. Azraai Zain Tusimin.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kejayaan-kejayaan yang diraih atlet Perlis sebelum ini wajar menjadi pembakar semangat untuk pencapaian cemerlang dalam temasya-temasya sukan di peringkat lebih tinggi kelak.

Titah baginda, beberapa langkah dan pendekatan perlu terus dilaksanakan oleh segenap pihak terlibat bagi mencapai matlamat tersebut antaranya menerapkan disiplin tinggi dalam diri, mempunyai mental kuat dan beberapa lagi.

“Para atlet juga perlu memiliki semangat motivasi dalaman yang membara bersama latihan intensif terancang,” titah baginda. 

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menyarankan semua atlet agar sentiasa berjiwa, berimpian tinggi dan bercita-cita untuk menggapai pelbagai kejayaan.

Titah baginda, kejayaan adalah milik mereka yang sanggup berkorban, konsisten berlatih dan tidak pernah menyerah walau berapa kali jatuh.

“Bangkitlah dengan rasa bangga, semai keyakinan diri dan tetapkan azam untuk terus mengejar kejayaan,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya