Aslam buat permohonan maaf secara terbuka terhadap Abby Abadi - Utusan Malaysia

Aslam buat permohonan maaf secara terbuka terhadap Abby Abadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Dengan rendah hati, di sini saya ingin memohon maaf kepada semua pihak terutama ibu mertua saya, Abby Abadi kerana banyak perkara telah saya lakukan yang sangat berat.”

Demikian kata menantu kepada Abby Abadi, Ahmad Aslam ketika membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap pelakon berkenaan, pada Khamis.

Menerusi beberapa hantaran di platform Threads, Aslam mengakui khilafnya malah, memberitahu dia pernah meminta maaf secara peribadi kepada Abby sebelum ini.

“Di sini saya ingin menjelaskan yang saya sudah pun pernah meminta maaf pada ibu mentua saya, baik ibu mentua isteri pertama dan juga isteri kedua saya.

“Tetapi disebabkan ibu mentua saya mungkin ingin saya memohon maaf secara terbuka di publisiti platform media,”katanya menerusi hantaran di Threads.

Menurut Aslam, dia memilih untuk berdiam diri sebelum ini kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan selain menganggap segala yang berlaku berpunca darinya.

Malah, suami kepada Umisya dan Marissa itu mengakui dirinya terbuka menerima teguran secara tertutup berbanding menerima sindiran di media sosial yang boleh mengundang fitnah daripada ramai pihak.

“Saya jarang bersuara kerana saya ditempat dan kedudukan yang bersalah, saya akui saya bersalah tapi ada masa diam itu bukan lagi pilihan.

“Saya akui saya banyak melakukan kesilapan pada semua pihak. Saya dengan rendah diri memohon maaf atas sebab diam saya perkara jadi lebih besar.

“Saya hormat semua pandangan termasuk yang menentang poligami tapi apabila sindiran, tohmahan dan hantaran terbuka dijadikan medium menyindir kami sekeluarga itu bukan lagi pandangan. Itu serangan peribadi,” kongsinya.

Dalam perkongsian lain, Aslam menegaskan dia sudah sedaya upaya berlaku adil terhadap kedua-dua isterinya sepanjang berpoligami selain mahu menjaga maruah dan nama baik keluarga.

“Ya, saya memilih untuk berpoligami dan ya, saya berkahwin secara senyap, bukan kerana suka-suka tetapi kerana keadaan yang memerlukan begitu. Saya tahu risiko dan beban yang datang bersamanya.

“Tapi saya juga tahu lebih baik saya bertanggungjawab daripada terus bermain dengan perasaan dan masa depan orang lain. Demi menjaga maruah dan niat baik keluarga. Saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kedua-dua isteri saya.

“Mereka tidak berkongsi tempat tinggal, tidak berkongsi nafkah. Masing-masing saya jaga mengikut kemampuan dan keperluan mereka. Saya bukan sempurna tapi saya berusaha berlaku adil,” luahnya.

Pada Selasa lalu, Abby meluahkan rasa hairan apabila ada pihak yang memintanya memohon maaf kepada madu Marissa, 20, iaitu Umisya Mazlan.

Bagaimanapun, Abby mempersoalkan permintaan itu sebaliknya meminta menantunya Aslam memohon maaf kepadanya dan memberi amaran kepada semua pihak agar tidak memaksa dirinya untuk bersuara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN