IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menafikan video tular membabitkan dakwaan beliau menunjukkan pistol ketika pemilihan PKR peringkat Cabang Tambun hari ini.
Menurut Muhamad Arafat, dakwaan bersifat fitnah kononnya beliau mengugut calon dan pengundi itu sering dihadapi setiap kali pemilihan parti berlangsung.
“Setiap kali tempoh pemilihan parti akan ada yang memfitnah untuk kepentingan politik calon yang menentang saya dalam pemilihan.
“Rakyat akan dapat menilai fitnah-fitnah yang ditimbulkan tepat pada hari pengundian pemilihan parti di Perak iaitu hari ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat terhadap individu berkenaan dan menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Saya telah mengarahkan peguam memulakan tindakan undang-undang terhadap individu yang memfitnah.
“Calon perlu menghadapi pemilihan secara prinsip, etika dan semangat keluarga,” ujar beliau.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit lima saat yang memaparkan seorang lelaki dikenali sebagai Kalai mendakwa Muhamad Arafat menunjukkan pistol kepada calon dan ahli-ahli yang sedang merayu undi.
Lelaki yang mendakwa sebagai calon timbalan ketua cabang Tambun itu berkata, kejadian berkenaan disaksikan ramai dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap Muhamad Arafat.
Pada pemilihan parti kali ini, Muhamad Arafat berdepan cabaran daripada Shamsul Kamar Ani yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Cabang Tambun.- UTUSAN