POKLIP perhatikan, penyanyi dan komposer berbakat besar, Aina Abdul sedikit menyepi sejak awal Ramadan dan raya tahun ini. Maaf, mungkin Poklip bukan peminat tegar Aina tetapi memerhati juga perjalanan kariernya.
Tahun ini tidak ada lagu raya baharu daripada Aina. Rasanya dia sedang pulun dan mungkin berkurung dalam studio untuk menyiapkan album baharunya. Katanya, album itu bakal tunjuk sisi berbeza Aina.
Namun, sejak dua menjak ini, Poklip perhati juga, setiap kali ada video atau cerita Aina yang dikongsi di media sosial pasti akan ada komen jelik atau berunsur kebencian terhadap penyanyi itu.
Lantas tertanya-tanya juga Poklip, apa salah Aina? Kenapa seperti ada sekelompok manusia yang tidak suka atau lebih jahat, benci dengan penyanyi Terus Hidup itu? Apa sebab dia menerima kecaman, hinaan dan makian?
Adakah kerana interpretasi seni dan muziknya yang berbeza daripada yang lain? Adakah kerana pemilihan busana dan imejnya unik berbanding anak seni lain? Jika bukan itu, jadi apakah sebabnya?
Poklip faham, setiap orang ada suka dan tidak suka terhadap seseorang. Tetapi bukanlah sehingga membawa kepada kemurungan atau kebencian. Tak suka, tak mengapa. Janganlah komen buruk-buruk.
Sepertinya Aina ada melakukan sesuatu yang benar-benar membuatkan hati sekelompok itu benci dengannya. Setahu Poklip yang suka dengan lagu Semalam dan Jangan Mati Rasa Itu, tidak ada.
Takkan sebab dia dikatakan tidak ada killer songs? Tak mungkin. Bagi peminat setianya, setiap lagu yang dikeluarkan adalah lagu-lagu kegemaran mereka. Jadi, jika anda tidak suka, buat apa kecam?
Ada juga Poklip baca, segelintir pihak menyalahkan peminat Aina. Ini sesuatu yang Poklip cuba elak untuk bicarakan. Sebagai salah seorang ‘mangsa’ buli-kecam di media sosial, mungkin Poklip faham apa yang dimaksudkan.
Tetapi Poklip juga ada kenal dengan beberapa die-hard fan Aina. Setahu Poklip, mereka bukan jenis manusia yang membuli orang lain di media sosial semata-mata untuk ‘menjaga’ bintang kegemaran mereka.
Mungkin ada beberapa akaun di media sosial yang ‘bermati-matian’ dan cuba menjatuhkan artis lain dengan bertelagah sesama kelab peminat. Itu sesuatu yang normal. Setiap artis ada peminat yang toksik.
Tetapi tidaklah sampai membuatkan orang benci atau tidak suka dengan artis tertentu. Jadi, benarkah kerana wujudnya beberapa akaun mengaku peminat Aina yang membuatkan orang tidak suka dengan penyanyi itu?
Jika itu adalah antara sebabnya, baik anda mundur dan muhasabah diri. Aina tidak perlukan peminat seperti anda. Berilah dia laman penuh cinta untuk dia taburkan benih seni sehingga mewangi dengan sungguhnya.
Aina penyanyi yang sangat berbakat dan perlu ada dalam industri muzik tanah air. Jangan bandingkan dia dengan mana-mana artis. Aina adalah Aina. Kita perlukan pelapis yang satu hari nanti mampu bergelar Biduanita Negara.
Jika bukan anda, siapa lagi mahu menjadikan impian itu satu realiti? Sayangilah Aina dan artis-artis muda lain yang ketika ini sedang berjuang. Berilah sokongan kepada mereka yang memartabatkan industri seni tanah air.
Sudah sampai masa untuk muzik lokal kita bergema di pentas luar negara. Ayuh, kita boleh!