PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Wanita Pertama Singapura Noor Aishah Mohammad Salim, 91, yang meninggal dunia hari ini.
Anwar berkata pemergian Noor Aishah adalah seorang tokoh wanita yang menjadi tunjang kekuatan Singapura pada tahun-tahun pembentukan identiti nasional mereka.
Kata beliau lagi, Noor Aishah tidak sekadar pendamping kepada seorang tokoh dan pemimpin negara malah beliau merupakan ikon kesetiaan dan kemuliaan budi yang menjadi teladan kepada wanita di rantau ini
“Perginya seorang tokoh wanita yang menjadi tunjang kekuatan Singapura di tahun-tahun pembentukan identiti nasional mereka amat mengusik jiwa.
“Kesederhanaan beliau ternyata menjambatani hubungan antara pemimpin dengan rakyat terbanyak,” katanya.
Perdana Menteri berkata beliau dan seluruh rakyat Malaysia turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga almarhumah.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin,” kata bellau.
Terdahulu, pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura dalam kenyataan hari ini memaklumkan Noor Aishah meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada 4.28 pagi.
Allahyarham akan dikebumikan pada Selasa di Tanah Perkuburan Negara Kranji, bersebelahan pusara suaminya. – UTUSAN