PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Presiden China, Xi Jinping di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam rangka lawatan tiga hari pemimpin itu ke Malaysia.
Ketibaan Xi dan delegasi China kira-kira pukul 6.30 petang semalam dengan menaiki pesawat Air China jenis Boeing 747. Ia adalah lawatan beliau ke negara ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas 12 tahun selepas kali terakhir pada 2023 lalu.
Turut menyambut kehadiran beliau bersama delagasi negara itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dengan diberi sambutan rasmi serta persembahan tarian kebudayaan.
Semasa lawatan negara kali ini, Xi akan disambut dengan istiadat sambutan negara dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Seri Paduka Baginda juga berkenan meraikan Xi dan delegasi dalam satu majlis santapan negara.
Xi turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin seterusnya akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman, perjanjian, dan nota antara Malaysia dengan China.
Anwar akan turut menghoskan satu majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana untuk meraikan Xi.
Sebagai Pengerusi ASEAN dan Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia kekal komited untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan China melalui dialog, kesalingpercayaan dan inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat ASEAN dan China.
Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM484.12 bilion pada 2024.
Ia menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia berjumlah RM2.879 trilion. – UTUSAN