PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh mengesahkan isu-isu berbangkit berhubung parti termasuk kongres tahunan parti bakal dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) petang ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut adakah perbincangan turut berkisar mengenai keputusan pemilihan peringkat cabang, baru-baru ini.
“Saya tidak akan ulas mengenai keputusan itu (pemilihan), tetapi sebenarnya (mesyuarat petang ini) ia menggantikan mesyuarat MPP biasa yang sepatutnya diadakan pada hujung minggu, namun telah diawalkan.
“Hal-hal parti, kongres, perwakilan (dan) muktamadkan (beberapa) keputusan antara intipati (petang ini),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri KPDN di sini hari ini.
Menurut Fuziah, mesyuarat MPP petang ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut berjanji satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung mesyuarat tersebut.
Media sebelum ini melaporkan satu mesyuarat MPP parti itu akan diadakan pada Rabu, susulan bantahan dan dakwaan mempersoalkan ketelusan keputusan pemilihan PKR.
Fuziah dilaporkan berkata, mesyuarat yang diadakan itu bukan tergempar kerana notis tujuh hari sudah dikeluarkan kepada semua ahli MPP. – UTUSAN