KAJANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mempengerusikan satu mesyuarat khas bersama pegawai tertinggi kerajaan petang ini bagi membincangkan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas Malaysia yang bakal berkuat kuasa, 9 April depan.
Mesyuarat tersebut turut disertai barisan Jemaah Menteri, termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour serta Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Mohd. Hassan Marican.
“Insya-Allah kita akan umumkan selepas mesyuarat petang ini. Kita mahu pastikan keputusan yang dibuat mengambil kira semua aspek termasuk kedudukan ekonomi negara dalam jangka masa pendek dan panjang,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, Kajang, hari ini.
Anwar berkata, Malaysia akan turut merasai kesan daripada pelaksanaan tarif tersebut walaupun kadar itu masih lebih rendah berbanding apa yang dikenakan ke atas beberapa negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Jelasnya, beliau telah menghubungi pemimpin-pemimpin negara serantau termasuk dari Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura bagi mendapatkan pandangan serta menyelaraskan tindak balas bersama.
“Kita mahu ada kesepakatan dalam menjawab tindakan AS dan menuntut supaya wujud prinsip keadilan serta kesaksamaan dalam sebarang keputusan perdagangan antara negara, termasuk hubungan dua hala dan serantau seperti ASEAN-AS,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Tengku Zafrul bakal mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya di rantau ini dan akan menyertai mesyuarat menteri-menteri perdagangan ASEAN Khamis depan bagi membincangkan tindakan kolektif terhadap isu sama.
Mengulas mengenai gesaan beberapa pihak agar kerajaan mengenakan tarif balas terhadap AS, Anwar berkata, perkara tersebut turut menjadi antara agenda utama dalam mesyuarat petang ini.
Namun, beliau menegaskan bahawa keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk melindungi kepentingan ekonomi negara, khususnya dalam sektor semikonduktor yang merupakan antara penyumbang utama eksport Malaysia ke AS.
“Sekitar 60 hingga 65 peratus eksport semikonduktor kita adalah ke Amerika Syarikat. Malah, kira-kira 26 peratus daripada keperluan semikonduktor di AS datangnya dari Malaysia.
“Justeru, kita perlu pertimbangkan semua aspek ini secara menyeluruh sebelum mengambil sebarang langkah balas. Insya-Allah, kita akan maklumkan hasilnya petang nanti,” katanya.-UTUSAN