Anwar hargai komitmen Thailand majukan projek sempadan negara

Anwar hargai komitmen Thailand majukan projek sempadan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Thailand kerana memberi komitmen untuk merealisasikan projek-projek di sempadan kedua-dua negara termasuk pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang – Sungai Golok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan itu kepada rakan sejawatnya di Thailand, Paetongtarn Shinawatra atas komitmen diberikan untuk memajukan projek-projek tersebut.

“Tahniah atas komitmen untuk mengukuhkan hubungan dua negara dan sempadan (Malaysia-Thailand). Projek ini sudah lama dibincangkan dan di bawah kepimpinan Paetongtarn, ia direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat dua hala bersama Paetongtarn di Government House, di Bangkok, sempena lawatan kerja dua hari ke sini bermula semalam.

Turut hadir dalam mesyuarat singkat itu adalah, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Anwar turut menyatakan penghargaan kepada Paetongtarn kerana bersetuju mengadakan mesyuarat dua hala tersebut walaupun dalam keadaan tempoh notis singkat.

Katanya, selain mesyuarat dua hala itu, beliau akan mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN untuk membincangkan isu global dan serantau termasuk tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).

“Ini termasuk polisi tarif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan perjumpaan terbaru (Anwar) bersama Presiden China, Xi Jinping,” katanya.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Anwar dan delegasi selamat mendarat di Terminal 2 Tentera Udara Diraja Thailand kira-kira jam 1.20 tengah hari waktu tempatan.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit.

Dalam lawatan keempat Anwar ke Thailand sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022, Perdana Menteri dan rakan sejawatnya, Paetongtarn bakal menyaksikan pertukaran perjanjian berkaitan pembinaan jambatan kedua serta menaik taraf jambatan sedia ada yang menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok.

Beliau juga dijadualkan berjumpa dengan Ketua Junta Myanmar, Jeneral Kanan, Min Aung Hlaing atas kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN.

Sejak penubuhan hubungan diplomatik secara rasmi pada tahun 1957, Malaysia dan Thailand menyaksikan jalinan kerjasama yang erat selaku negara jiran tetangga.

Pada tahun 2024, Thailand adalah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM114.56 bilion.

Dari Januari hingga Februari lalu, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM17.65 bilion berbanding RM16.80 bilion dalam tempoh sama pada tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya